Meneliti Sirah Rasulullah
saw, kita jelas mendapati jalan perjuangan dan fasa-fasa yang dilalui oleh
Baginda saw dan para Sahabat ra seperti yang diatur oleh Allah swt.
Sebaik turun dari Gua Hirak
pada 610M, Nabi saw mula membentuk (1)Peribadi-peribadi Islam
yang bakal mendokong Dakwah Islam dan teguh melalui jalan panjang hingga
mencapai matlamatnya.
Setiap sahabat pula mendidik
keluarga masing-masing hingga menjadi (2) Keluarga Islam sejati
lagi mithali. Kesemua isteri dan anak-anak Nabi saw seperti Zainab, Ruqayyah,
Ummu Kalthum dan Fatimah mendokong Risalah dan melalui Jalan yang dilalui
Baginda saw. Begitu juga Abu Bakar As-Siddiq didokong oleh isteri dan
anak-anaknya Abdullah, Abdur Rahman, Aisyah, Asmak dan lain-lain.
Tumbuhnya keluarga-keluarga
Islam ini mewarnai dan mencorak suasana dan didikan Islam di sekitar, maka
lahirlah bibit sebuah (3) Masyarakat Islam di Mekah sebelum
mereka diperintah oleh Allah dan RasulNya saw untuk berhijrah ke Madinah pada
tahun 622M membentuk sebuah (4) Kerajaan Islam dibawah pimpinan
Rasulullah saw sendiri.
Di Madinah, turun ayat-ayat
Al-Quran mengenai Perundangan Islam sedikit demi sedikit menyentuh dan mengatur
dari kehidupan ibadah dan sosial kepada hal ehwal berkait dengan kenegaraan dan
Jihad (kekuatan dan kedaulatan) sehinggalah sempurna ciri-ciri sebuah
(5) Negara Islam di Madinah.
Selepas Pembukaan Mekah pada
tahun 630M, kerajaan-kerajaan kecil di Semenanjung Arab datang
berbondong-bondong ke Madinah mengiklankan penggabungan ketua negara, kerajaan
dan rakyat masing-masing di bawah Rasulullah saw dan berterusan ke zaman Abu
Bakar As-Siddiq ra membentuk (6) Khilafah Islam. Pada masa itu,
kuasa besar masih di tangan Kerajaan Rum dan Kerajaan Parsi. Selepas Rasulullah
saw wafat (632M), Islam mengalahkan kedua-dua Kuasa Besar tersebut di zaman Umar
Al-Khattab ra. lalu Islam ditabal
(7) Memimpin Alam
Sejagat dan terus membimbingnya dengan Sistem Islam ke arah mendapatkan
Syurga dan keredhaan Allah swt.
“Katakanlah (wahai Muhammad
kepada umat Islam dan dunia), ‘Sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah (jalan)
aku, nescaya kamu akan dicintai Allah dan Dia ampunkan dosa-dosa kamu” (Ali
Imran;31). Kepada mereka yang mencintai Allah dan berazam menuju kepadanya
Seerah RasulNya itulah jalan menuju kepadaNya. Berusaha dan beramallah melalui
Jalan dan fasa-fasa di bawah :
TAJUK-TAJUK RUKUN AMAL
7
1. Peribadi Islam
2. Keluarga Islam
3. Masyarakat Islam
4. Kerajaan Islam
5. Negara Islam
6. Khalifah Islam
7. Ustaziatul Alam